27 Julai 2010

Suami yg amanah.....;-)

Seorang suami baru kematian isteri yang amat dikasihinya. Ketika suasana kesedihan di tanah perkuburan, sesudah imam membaca taklin, si suami terus menyiram air mawar, bukan satu cerek atau satu jar seperti kebiasaan orang, malah terus satu baldi.

Para hadirin merasakan tindak tanduk itu membayangkan betapa kasihnya suami ini kepada isterinya. Ramai yang bercucuran airmata melihat senario ini romantik ini. Tak kurang juga ramai daripada kalangan para hadirin yang berbisik di hati masing-masing betapa bernasib baik arwah mendapat suami yang bergitu setia dengan kasih sayang yang sedemikian solid.

Namum bagi kenalan rapat, tindak tanduk si suami ini mula minimbulkan tanda tanya apabila setiap pagi, tengahari dan malam si suami itu masih menyiram air di pusara arwah isterinya, bukannya secerek malah masih sebaldi serta ditaburkan baja. Kadang-kadang mereka mendapati beliau membawa kanta sambil meninjau dengan penuh teliti seolah-olah membuat kajian di atas tanah tersebut. Malah beberapa hari kemudian mereka telah melihat beliau memasang sprinkler di atas tanah perkuburan tersebut.

Apabila sudah masuk dua minggu amalan aneh ini berterusan, maka ada yang membuka mulut bertanya dan sekali gus ingin menasihati kerana bimbang takut-takut si suami ini semakin hilang akal lantaran kerinduan yang teramat sangat.

Apabila ditanya, si suami menjawab :

“Arwah isteri ku telah berpesan, jika beliau meninggal, janganlah kahwin lain sehingga rumput atas kuburnya tumbuh. Itulah sebabnya aku terpaksa siram sedemikian rupa untuk memastikan rumput agar cepat tumbuh!”

26 Julai 2010

Jangan Bunuh Angsa Itu


“Macam tidak percaya. Angsa kita bertelur telur emas!” kata petani tua itu kepada isterinya.

Hidup mereka sudah lama dibelenggu kemiskinan.

Mendapat angsa bertelur emas, adalah sesuatu yang di luar bayangan. Dengan emas itu mereka mengubah keadaan hidup. Jika dahulunya rumah mereka menunggu masa menyembah bumi, kini sudah tegap mendukung langit.

Namun, perubahan yang berlaku agak perlahan.

Mengapa hanya seketul emas sehari?

Mengapa tidak lebih daripada itu?

Timbul rasa tamak di hati petani itu dan isterinya. Tamak yang akhirnya membutakan pandangan dan fikiran. Mereka berdua membunuh angsa itu. Perutnya dibelah dengan harapan lebih banyak emas boleh dikorek keluar. Namun apa yang ada, adalah apa yang biasa ada di dalam perut seekor angsa. Tiada lagi emas, kerana angsa sudah tiada!

Kisah itu merupakan hikayat Aesop yang terkenal. Ia amat simbolik pada mengungkapkan akibat sifat tamak.

Akan tetapi, kisah tersebut boleh menjadi lebih tragis, kalau angsa itu membunuh diri. Bukan dibunuh oleh ketamakan petani. Sebaliknya akibat kecuaian angsa menjaga diri. Angsa terabai, telur emas tinggal kenangan.

ANDA DAN SAYA ADALAH ANGSA ITU

Saya mengambil kisah angsa bertelur emas itu pada membayangkan keadaan diri.

Saya, dan kita semua adalah angsa itu. Angsa yang berbakat, berkemahiran, banyak yang boleh disumbangkan di tempat kerja, di tempat berniaga, di tempat berperanan, kepada seluruh umat. Sumbangannya pula bukan sebarang. Setiap kita adalah istimewa kerana telur emas kita didamba oleh sekalian manusia. Namun malang sekali kalau angsa itu didesak bertelur lebih daripada kemampuannya. Atau angsa itu membiarkan dirinya menjadi mangsa. Diperlakukan hingga mati, atau membiarkan sahaja dirinya mati.

Sungguh malang.

Bermuhasabahlah kita pada mengimbangkan seluruh aspek kehidupan ini. Jangan tamakkan satu manfaat hingga memejamkan mata kepada datangnya mudarat. Islam sebagai satu cara hidup yang sempurna dan antara aspek kesempurnaan itu adalah pada mengagih-agihkan bahagian masa dan usia pada semua yang diperlukan manusia. Ia agama yang mengajar manusia hidup sebagai manusia.

Pendidikan Islam dan Moral disyor jadi syarat wajib lulus SPM

KUALA LUMPUR 26 Julai – Seorang ahli Dewan Negara hari ini mengutarakan cadangan supaya mata pelajaran Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral dijadikan syarat wajib lulus peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Senator Datin Paduka Nor Hayati Onn berkata, pengetahuan agama dan nilai murni adalah dua perkara penting yang diperlukan untuk meningkatkan kekuatan rohani di kalangan remaja.

Menurutnya, isu sosial adalah masalah besar yang dialami negara-negara maju seperti Australia dan Amerika Syarikat sekalipun, dan beliau memberi contoh jumlah kes pembuangan bayi yang tinggi di negara berkenaan, meskipun ia mempunyai undang-undang yang khusus berkaitan kesalahan itu.

“Isu keruntuhan moral perlu diubati dengan input pembaikan sahsiah dan moral,” katanya ketika membahaskan Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10) di Dewan Negara di sini hari ini.
Beliau berkata, sebahagian daripada mereka yang terlibat dalam kes-kes pembuangan bayi adalah terdiri daripada golongan remaja yang berpendidikan tinggi dan juga lulusan universiti.

Nor Hayati berkata, walaupun berpelajaran, mereka tidak mempunyai kekuatan rohani yang tinggi untuk melawan nafsu jahat dalam diri.
“Masyarakat berilmu tanpa nilai moral yang tinggi tidak akan menjamin negara akan bebas daripada perkara-perkara yang keji,” katanya. –
Sumber :- Bernama / Utusan Malaysia Online: 26 Julai 2010

21 Julai 2010

Bersyukur atas rahmatNya

Peperiksaan yang dilakukan di negara Afganistan… kita sepatutnya bersyukur dengan apa yang kita ada… bila anak2 kita menduduki exam.. siap dengan kipas.. kerusi.. meja… untuk keselesaan mengambil exam… tapi di negera lain … mereka perlukan perngorbanan dalam melalui hidup yang penuh asam garam..

20 Julai 2010

Menutup aurat bukan sekadar pakai tudung....


SATU ketika dulu, ramai mengatakan memakai tudung itu hanyalah sunat muakad atau tidak wajib. Kalau tidak memakai tudung, hanya berdosa kecil. Kononnya sebaik saja mengambil wuduk untuk bersolat lima waktu, secara automatik dosa kita dibasuh dan terhapus.
Apabila bergaul dengan pelbagai bangsa dan agama, kita banyak mendengar dan membaca bagaimana media barat memomokkan kod pakaian wanita Islam yang dikaitkan dengan maruah dan harga diri.
Di satu sudut lain, ada wanita Islam yang bertudung dan menyangkakan mereka sudah menutup aurat, tetapi masih mengenakan seluar jeans yang ketat, kemeja T menampakkan pakaian dalam atau yang hanya layak dipakai oleh adiknya berumur 10 tahun.
Ada juga yang mengenakan tudung, tetapi memakai kain terbelah sehingga menampakkan peha, pakaian terbelah di dada, kemeja T berlengan pendek dan ada kalanya memakai skirt separas betis. Persoalannya apakah ciri pakaian menutup aurat bagi wanita Islam?
Aurat berasal daripada bahasa Arab, ‘Aurah’ yang bererti kurang. Di dalam fiqh, aurat diertikan sebagai bahagian tubuh seseorang yang wajib ditutupi daripada pandangan orang lain. (Wahbah al-Zuhayli (1989), al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, Damsyik: Dar al-Fikr, halaman 579)
Walaupun ulama berkompromi mengenai had aurat yang perlu ditutup oleh wanita, namun mereka bersepakat mengatakan hukum menutup aurat bagi setiap wanita Muslimah yang baligh adalah wajib. Untuk memenuhi syarat menutup aurat, pakaian seseorang wanita mestilah memenuhi syarat berikut:

# Menutupi had aurat yang sudah ditetapkan.

Jumhur ulama bersepakat mengatakan aurat bagi wanita baligh ialah seluruh tubuhnya kecuali muka dan tapak tangan. Oleh itu, mereka wajib menutup aurat daripada dilihat oleh lelaki ajnabi (bukan mahram).
Allah berfirman yang bermaksud: “Dan hendaklah mereka (wanita) menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka.” (Surah al-Nur, ayat 31)
Firman Allah lagi yang bermaksud: “Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (ketika mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Ahzab, ayat 59).
Ayat itu Allah memerintahkan supaya Nabi Muhammad SAW menyuruh isteri Baginda mengenakan pakaian yang menutup aurat. Suruhan itu juga ditujukan kepada semua wanita beriman.

# Pakaian yang longgar.

Tujuan utama wanita diwajibkan menutup aurat ialah untuk mengelakkan daripada lelaki ajnabi melihat tubuh badannya dan mengelakkan daripada berlakunya fitnah. Oleh itu, pakaian yang ketat walaupun tebal sudah pasti akan menampakkan bentuk tubuh badan. Wanita yang memakai pakaian ketat walaupun menutupi seluruh tubuh masih belum memenuhi tuntutan menutup aurat seperti dikehendaki syarak.
Syarat ini berdasarkan kepada kata Dahiyyah bin Khalifah al-Kalbi yang bermaksud: “Rasulullah SAW didatangi dengan beberapa helai kain ‘qubtiyyah’ (sejenis kain yang nipis buatan Mesir), lalu Baginda berkata: “Bahagikan kain ini kepada dua, satu daripadanya dibuat baju dan bakinya berikan kepada isterimu.” Apabila aku berpaling untuk beredar Baginda berkata: “Dan suruhlah isterimu meletakkan kain lain di bawahnya (supaya tidak nampak bentuk tubuhnya).”
Menurut Ibn Rusyd, ‘qubtiyyah’ ialah pakaian yang tebal tetapi melekat pada badan kerana ianya ketat dan menampakkan bentuk tubuh pemakainya. Oleh itu, Rasulullah SAW menyuruh Dahiyyah menyuruh isterinya melapik pakaian itu dengan kain lain supaya tidak menampakkan bentuk tubuhnya.

# Pakaian yang tidak jarang.

Syarak menetapkan pakaian wanita mestilah tidak jarang sehingga menampakkan bentuk tubuh atau warna kulitnya. Aisyah meriwayatkan bahawa saudaranya, Asma, pernah masuk ke rumah Rasulullah SAW dengan berpakaian tipis sehingga nampak kulitnya. Rasulullah SAW berpaling dan mengatakan: “Hai Asma, sesungguhnya seorang perempuan bila sudah datang waktu haid, tidak patut diperlihatkan tubuhnya itu, melainkan ini dan ini sambil ia menunjuk muka dan kedua telapak tangannya.”
Teguran Rasulullah SAW terhadap Asma jelas menunjukkan bahawa pakaian yang jarang tidak memenuhi syarat menutup aurat bagi wanita baligh.

# Bukan pakaian yang menarik perhatian (pakaian syuhrah).

Apa yang dimaksudkan pakaian untuk bermegah ialah pakaian yang berlainan daripada pakaian orang lain sama ada dari segi warna, fesyen atau potongan sehinggakan menarik perhatian orang lain serta menimbulkan rasa bongkak pada pemakainya.
Ibn Umar meriwayatkan daripada Nabi SAW bahawa Baginda bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang memakai pakaian bermegah-megah maka Allah Taala akan memakaikannya dengan pakaian yang serupa pada hari kiamat kelak kemudian ia akan dijilat api neraka.”

# Tidak menyerupai pakaian lelaki atau pakaian orang kafir.

Pakaian yang menutup tubuh badan tidak dikira sebagai memenuhi ciri pakaian Islam jika menyerupai pakaian orang kafir. Ia berdasarkan hadis Rasulullah SAW seperti diriwayatkan Ibn Abbas: “Rasulullah melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki.”
Larangan menyerupai pakaian orang bukan Islam ini atas alasan ia boleh menjatuhkan martabat Islam dan penganutnya.

# Tidak bertabarruj.

Tabarruj dalam bahasa mudah boleh diertikan sebagai bersolek. Ada juga yang mengatakan tabarruj ialah melepaskan tudung kepalanya tetapi tidak mengikat/mengetatkannya, lalu terlihatlah rantai leher, anting-anting dan lehernya. Kesimpulannya tabarruj ialah memperlihatkan keelokan, kecantikannya yang sepatutnya wajib ditutup.
Larangan ini berdasarkan kepada firman Allah yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku (tabarruj) seperti orang jahiliah dulu (pertama).” (Surah al-Ahzab, ayat 33)
Ayat itu petunjuk kepada isteri Nabi SAW supaya tetap di rumah dan tidak bertabarruj seperti orang jahiliah dulu. Konsep tabarruj jika dilihat dalam kerangka lebih luas meliputi perbuatan wanita mendedahkan aurat, memakai wangian apabila keluar rumah, cara berjalan atau tingkah laku yang menarik perhatian lelaki ajnabi.

Pakaian wanita menutup aurat mestilah memenuhi ciri disebutkan walau di mana mereka berada. Berdasarkan syarat itu juga dapat kita ukur sejauh mana wanita Muslimah sudah menutup aurat atau hanya bertudung saja seperti fenomena di Malaysia apabila ramai bertudung tetapi memakai pakaian tidak menepati syariat. Ia adalah fenomena pemakaian tudung kerana fesyen, ikut-ikutan, paksaan ataupun berdasarkan kejahilan dan bukannya ilmu Islam sebenar.

05 Julai 2010

Program-program Panitia (julai-sept)

9 JULAI : KULIYAH ISRA' & MIKRAJ

26-30 JULAI : KUTIPAN RAMADHAN & SYAWAL

11 OGOS-3 SEPT : TAZKIRAH RAMADHAN

16 OGOS : KULIYAH RAMADHAN

17-20 OGOS : KUIZ RAMADHAN & PERTANDINGAN KARANGAN TULISAN JAWI

23-26 OGOS : TADARRUS AL-QURAN

25 OGOS : MUSABAQAH AL-QURAN, PERTANDINGAN HAFAZAN, PERTANDINGAN NASYID & BACAAN YASSIN SEMPENA UPSR

26 OGOS : MAJLIS BUKA PUASA PERDANA & KHATAM AL-QURAN

9 SEPT : PEMBERIAN SUMBANGAN DUIT RAYA

17 SEPT : JAMUAN HARI RAYA

P/S : semoga semua program yg dirancang dapat dijalankan dengan lancar.
"Ya Allah.Permudahkanlah segala urusan kami dan jauhilah kami daripada segala fitnah, kejahatan dan kemaksiatan".