26 Julai 2010

Jangan Bunuh Angsa Itu


“Macam tidak percaya. Angsa kita bertelur telur emas!” kata petani tua itu kepada isterinya.

Hidup mereka sudah lama dibelenggu kemiskinan.

Mendapat angsa bertelur emas, adalah sesuatu yang di luar bayangan. Dengan emas itu mereka mengubah keadaan hidup. Jika dahulunya rumah mereka menunggu masa menyembah bumi, kini sudah tegap mendukung langit.

Namun, perubahan yang berlaku agak perlahan.

Mengapa hanya seketul emas sehari?

Mengapa tidak lebih daripada itu?

Timbul rasa tamak di hati petani itu dan isterinya. Tamak yang akhirnya membutakan pandangan dan fikiran. Mereka berdua membunuh angsa itu. Perutnya dibelah dengan harapan lebih banyak emas boleh dikorek keluar. Namun apa yang ada, adalah apa yang biasa ada di dalam perut seekor angsa. Tiada lagi emas, kerana angsa sudah tiada!

Kisah itu merupakan hikayat Aesop yang terkenal. Ia amat simbolik pada mengungkapkan akibat sifat tamak.

Akan tetapi, kisah tersebut boleh menjadi lebih tragis, kalau angsa itu membunuh diri. Bukan dibunuh oleh ketamakan petani. Sebaliknya akibat kecuaian angsa menjaga diri. Angsa terabai, telur emas tinggal kenangan.

ANDA DAN SAYA ADALAH ANGSA ITU

Saya mengambil kisah angsa bertelur emas itu pada membayangkan keadaan diri.

Saya, dan kita semua adalah angsa itu. Angsa yang berbakat, berkemahiran, banyak yang boleh disumbangkan di tempat kerja, di tempat berniaga, di tempat berperanan, kepada seluruh umat. Sumbangannya pula bukan sebarang. Setiap kita adalah istimewa kerana telur emas kita didamba oleh sekalian manusia. Namun malang sekali kalau angsa itu didesak bertelur lebih daripada kemampuannya. Atau angsa itu membiarkan dirinya menjadi mangsa. Diperlakukan hingga mati, atau membiarkan sahaja dirinya mati.

Sungguh malang.

Bermuhasabahlah kita pada mengimbangkan seluruh aspek kehidupan ini. Jangan tamakkan satu manfaat hingga memejamkan mata kepada datangnya mudarat. Islam sebagai satu cara hidup yang sempurna dan antara aspek kesempurnaan itu adalah pada mengagih-agihkan bahagian masa dan usia pada semua yang diperlukan manusia. Ia agama yang mengajar manusia hidup sebagai manusia.

2 ulasan:

  1. Wahai guru2,
    ingatlah kamu....jauhilah hasad dengki..
    yg memusnahkan kebaikan yg kamu lakukan,
    seperti api yg membakar daun2 kering...

    potensi diri yg ada pada guru yg berhati mulia bebas hasad dengki membentuk hidup
    yg tenteram.....

    lihatlah wajah guru2 kita, wajah bercahaya
    atau wajah yg gelap akibat hati yg tidak bercahaya....

    ingatlah guru, anak murid mahukan cahaya ilmu
    bukan kegelapan hati yg tidak mendidik murid ke jalan bercahaya

    BalasPadam
  2. tul..sikap hasad dengki..menjerumus kpd kehinaan..sikap tamak membawa kehancuran..
    bangun..buka mata yang lena akibat kerakusan duniawi..sentiasa bersihkan diri dgn zikrullah..
    Allahu akbar

    BalasPadam